Monday 10 February 2020

Seni Silat Lintau


Kepada pembaca sekalian, penulis merangkumkan kisah Seni Silat Lintau ini di dalam blog ini kerana memanjangkan cerita daripada Pak Wa iaitu Guru Silat Lintau ini. Segala yang ditulis ini adalah tulisan asal dari buku beliau. Mungkin ada pembaca yang akan bertanya mengapa SSL boleh timbul di dalam blog ini. Jawapanya, secara ikhlas dinyatakan guru saya pernah belajar SSL ini. Ini adalah lumrah atau resmi pendekar pada masa dahulu untuk sentiasa belajar dan mencari serta saling bertukar-tukar pengetahuan, dan tidak timbul isu siapa yang lebih. Kepada anak-anak murid Pak Wa tau sesiapa yang pernah belajar SSL ini boleh menghubungi saya untuk menyambung semula silaturahim yang terputus. Berikut adalah kisah yang ditulis oleh Pak Wa di dalam bukunya.


SENI SILAT LINTAU
Pertama. Difahamkan secara ringkas sahaja , SSL ini memang telah berada di Negara kita ini lebih 200 tahun yang silam dan ada beribu-ribu ahlinya. Tetapi tidaklah terkenal dan dikenali, sepertimana Seni Silat yang lain-lain. Walaubagaimanapun, di Indonesia ia amat dikenali ramai dan disegani, ia juga dipanggil dengan nama Seni Silat Jagur.


Keduanya, Seni Silat Jurus. Silat ini memang terkenal di mana sahaja oleh sebab kesaktian-kesaktianya yang luar biasa dan mengkagumkan sebagaimana yang dapat kita lihat di dalam media. Demikian ini tidaklah boleh dinafikan berlakunya di zaman-zaman dahulunya. Tetapi kini telah lenyap sedikit demi sedikit, walaupun demikian mungkin ada yang tersembunyi bagi mereka yang mengamalkanya, tetapi kebanyakanya telah terpesong dari apa yang sebenar-benarnya, oleh sebab ketakburan.

Ketiganya, timbul pula Seni Silat Nasrul Hak namanya, ini juga tidak kurang ahli-ahlinya. Tetapi Seni Silat ini, kebiasaanya tidaklah mudah menyerang dikecualikan bila mana menimbulkan kemarahan. Seni Silat ini juga hampir lenyap disebabkan, berpunca dari arahan gurunya berlainan antara 1 sama lain, akhirnya keraguan timbul.

Demikian inilah tiga jenis silat peringkat awalnya.



SILAT DEMI SILAT
Telah timbulnya di Negara kita ini dengan pelbagai nama silat. Walaupun demikian asalanya dari satu rumpun jua. Diwarisi daripada pahlawan-pahlawan kita di zaman dahulunya. Kini telahpun menjadi kebudayaan kita orang Melayu, maka dipertontonkan kepada orang ramai, malahan menjadi pertarungan untuk mendapatkan sesuatu.

TUJUAN ASALNYA
Keutamaan silat ini adalah untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh-musuh. Maka dijadikan satu gerakan badan yang tersusun rapi, mengikut jenis-jenis silatnya yang dikehendaki sehingga dimajukan di dalam Sukan Dunia Pertarungan.

SENI SILAT LINTAU
Berlainan dari yang lain-lainya, kerana Seni Silat Lintau ini ialah Silat Kebatinan, boleh menunjukkan pelbagai silat ada padanya. Walaupun demikian tidaklah dipertunjukkan kepada orang ramai sebagai tontonan dan pertarungan, tetapi perkara yang luar biasa itu tersembunyi melainkan ketika waktu yang tertentu digunakan. SSL ini juga banyak berkaitan dengan ajaran yang disertakan keagamaan diselaraskan supaya tidak lari dari maksud yang sebenarnya. Itulah sebab tidak luput hingga kehari ini walaupun tidak banyak mengetahuinya. - Patah Tumbuh Hilang Berganti.

Teredarnya daripada menyeru sesuatu samada orang yang masih hidup atau yang sudah matiatau menyangkakan seseorang itu wali Allah atau dengan kekeramatanya. Begitu juga memuja Datuk Syeikh itu atau ini ataupun kepada saka baka datuk nenek mereka yang dianggap boleh menolongnya. Perkara demikian ini SSL teredar dari menyerunya melainkan menyeru kepada Allah jua tiada yang lain. SSL juga teredar dari satu satu tanda yang menunjukkan seseorang itu sebagai ahlinya. Maksud teredar dari sebarang kebendaan yang ditaja atau yuran kutipan wang setiap bulan yang dikenakan kepada setiap ahli melainkan:-

Seseorang yang hendak menceburkan dirinya di dalam SSL ini maka barulah dikenakan bayaran dan menyediakan barang yang diperlukan iaitu:
1. 3 biji limau nipis.
2. Wang hadiah.
3. Adalah mereka-mereka ini syaratnya mengetahui rukun-rukun Islam dan menunaikan Solat.
4. Tidak mengirakan sesiapa sahaja, lelaki dan perempuan yang berminat. Begitu juga mengikut umurnya. Yang sudah berkhatan dan juga kepada mereka yang telah dewasa.

Cara-caranya;
Murid-murid hendaklah mengadap gurunya kerana menceburkan diri di lapangan SSL ini maka hendaklah bersedia dengan berwuduk.

Peranan Guru
Duduk berkeadaan mengadap kiblat bersama-sama murid, kemudian guru memotong limau, diisikan di dalam mangkuk yang telah disediakan air di dalamnya serta membaca ayat-ayat berkenaan SSL ini.

Kebiasaanya murid itu akan bergerak dengan sendirinya mengikut gerakan oleh kekuasaan batinya sendiri. Kebiasaanya bila mana sudah diijazahkan kepada muri-muridnya maka murid itulah akan melatih sendirimengikut yang diikrarkan itu dibacakan. Kebiasaan bagi murid-murid ini adalah mengikut cara ragam (kebawaanya sendiri), jika ia cenderong kepada bersilat mungkin inilah yang didapatnya. Walaupun demikian ini ada pelbagai juga perkara yang luar biasa didapati antaranya:

1. Melihat alam ghaib yang tidak pernah dilihatnya.

2. Boleh mengubat pesakit yang memerlukanya (sekiranya ia mendapat bahagian ini.

3. Menukarkan corak hidupnya kembali kepada tuhanya lalu tunduk menghinakan diri kepada Allah.

4. Timbullah perasaan kesabaran dan keimanan di dalam semua urusan hidupnya.

5. Ada yang dapat mempertahankan diri bila diserang oleh musuh. Maka musuh itu dengan sendirinya musnah. walaupun musuh itu menggunakan apa senjata sekalipun tetapi tidak memberi kesan apa-apa kepadanya.

6. Ada juga diantaranya dapat petunjuk ke jalan yang diredhai Allah.


APAKAH SEBAB IA BERGERAK DENGAN SENDIRINYA

Difahamkan, bila mana Iman seseorang itu sampai kepada Darjat yang Fana kerana menyebut Allah atau membesarkan Allah, menghinakan dirinya kepada Allah. Maka demikian itu Rohnya menjadi besar lalu menentukan kepada jasadnya, itulah sebabnya bergerak kerana dikuasai oleh rohnya sendiri.

PERLU DIELAKKAN (DIJAUHI)

Kalau menjadi ahli SSL ini, jauhkanlah bertujuan lain dari yang lain, seperti berkehendakkan Gagah perkasa, kebal diri, untuk menentang sebarang musuh, juga bermegah-megahan antara satu sama lain dan lain-lain lagi. Tujuan seperti ini telah terkeluar dari dasar-dasar yang sebenarnya. Walaupun demikian di dalam kata-kata sebagai guru membacakan ayat-ayat memotong limau itu. Semuanya sudah diterangkan ini juga harus difahami. InsyaAllah mencukupi sebarang yang kita hadapi itu dengan kekuasaan Allah.


Syarat-syaratnya, kita benar-benar memfanakan diri dan menyerahkan diri kepada Allah.

Pernah berlakunya kepada seorang murid yang baru menjadi ahli dalam sebulan, telah diserang oleh beberapa orang musuh yang bersenjata. Tetapi musuh-musuh itu telah dipegang oleh bumi dan mengeluarkan darah dari tiap-tiap lubang roma mereka.

DIINGATKAN
SSL ini memang pada masa yang sama ini banyak yang telah bernama seperti itu, tetapi ini tidaklah boleh kita menentukan silat mereka-mereka itu sama dengan kita. Demikian ini kita harus memahaminya. Walaupun demikianjika sama seperti mana kita jua ini tidak menjadi halanganuntuk kamu menceburkan diri di dalam golongan-golongan mereka itu.

Begitu juga jika kamu telah menjadi ahli SSL ini, diharapkan janganlah kamu mencari silat-silat yang lain kerana sebab tujuan kamu tidak berhasil. Dengan ini juga boleh memesongkan kamu sendiri tetapi kalaulah kamu mencari ilmu yang dikehendaki Allah bagi kamu bersedia di jalan Allah, ini memang digalakkan.

Kita perlu mengasuhkan diri kita ini berkeadaan seperti berikut:
1. Tidaklah bersedih jika kamu tidak dapat sesuatu sebagaimana yang mereka dapat.
2. Janganlah kamu bermegah-megah dengan keadaan kamu itu kerana mendapat sesuatu yang orang lain tidak dapat.
3. Janganlah kamu memperbesar-besarkan apa yang kamu telah dapat dan janganlah kamu menceritakanya kepada orang lain melainkan kepada guru dan ibubapa kamu sendiri sahaja.
4. Ada baiknya kamu mendiamkan diridaripada berkata-kata yang tidak mendatangkan faedah.
5. Janganlah kamu melakukan sesuatu tanpa keizinan guru kamu seperti memotong limau, ubat mengubat atau selainya. Ini membahayakan diri walaupun arahan dari yang ghaib sekalipun.


MENGETAHUI DARI DEKAT
Sebenarnya saya sebagai murid dan menjadi guru kepada murid di dalam SSL ini tidak kurang 25 tahun. Di dalam masa 2 tahun, telah diijazahkan dari guru saya mengamalkan maka barulah saya memotong limau ‘Bersilat’ ini. Setahun kemudianya barulah boleh mengubat, sebarang pesakit dan perkara-perkara lain lagi. Tetapi tidaklah begitu menumpukan kerja-kerja ini semata.

Dari semenjak itulah menjadi permulaan yang benar-benar saya menumpukan diri saya tunduk menghinakan diri kepada Allah. Maka timbullah dari segala pengetahuan yang telah sedia ada pada saya mempelajarinya sebagai asas diri,mengingatkan diri untuk diamalkan.

Pengetahuan ilmu SSL ini pada mulanya timbul pada tahun 1960an. Maka dengan ini saya menceburkan diri sebagai ahlinya SSL, berguru kepada seorang hamba Allah dikala itu tinggal di kampong Dato Keramat berusia lingkungan 75 tahun. Saya masih bekerja sebagai Pegawai di dalam sebuah Syarikat pengeluaran baja, Padang Jawa, Klang. Tinggal di Kg Padang Jawa sebagai penyewa salah sebuah rumah yang hampir dengan kilang ini. Umur saya dikala itu 48 tahun dan bersara tahun 1976, genap 55 tahun.

Saya mengambil ijazah penuh dari guru saya pada tahun 1971 (ijazah penuh). Selama 2 tahun saya mengamalkanya barulah dibolehkan memotong limau. Hingga kehari ini murid saya tidak kurang 1000 orang.

Menurut guru saya, beliau datang ke Malaysia ini seramai 3 orang terus ke Perak. Seorang telah meninggal di Ipoh dan dikebumikan di sana.Beliau meninggal pada umur 77 tahun pada tahun 1980.Seorang lagi telah ‘ghaib’. Tinggallah guru saya seorang. Menurut guru saya anak muridnya seramai 200 orang. Buat masa ini saya adalah orang ke-4 yang memanjangkan pengetahuan ini.

Oleh kerana tabah hati dengan keyakinan saya sendiri tidak peduli apa-apa yang merunsingkan. Maka dari itulah saya dapat sesuatu yang tidak di duga sama sekali dari Allah. Satu demi satu perkara yang luar biasa, sebagai meyakinkan diri saya, sehingga kini telahpun menunaikan kerja-kerja Umrah sebanyak 4 kali dan Haji sekali. Sehingga kehari ini lebih kurang seribu orang murid-murid saya yang menjadi ahli SSL, melainkan kiranya mereka ini menyebut akan saya sebagai Pak Wa ini mungkin dapat diketahui. Demikian inilah diri saya sebagai guru SSL ini.

Guru saya terpisah dengan saya pada tahun 1974, dikala itu beliau tinggal bersama-sama rakanya dari Sumatra, Kg Semonyih. Kemudian menghilangkan diri entah kemana. Ada kedengaran beliau berada di Johor Bahru.

Guru saya seorang bujang hingga ke tuanya, tidak mempunya sanak saudara di Negara ini dan miskin. Menumpang di sana sini kepada sesiapa yang sudi menerimanya. Beliau pernah tinggal bersama saya selama 6 bulan.

Namanya Johari atau lebih dikenali sebagai Pak Johari. Dikenali ramai pada tahun 1960an atas kependekaranya.

PERWATAKANNYA
Beliau tidak banyak berbicara (pendiam), jarang mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah. Hatinya bersih, pakaianya hanya ada 2 pasang sahaja yang saya ketahui. Banyak ilmunya, tapi hanya ilmu silatnya saja yang saya ambil.

Beliau juga seorang yang sensitive dan akan membawa diri apabila tersinggung. Mungkin ini salah satu sebab beliau suka berpindah-randah.

Tetapi tersangatlah besar maknanya kepada kita walaupun ilmu Silatnya sahaja yang saya ambil, namun dari situ puncanya satu persatu petunjuk dari Allah datang.

JANGAN DISALAH FAHAMKAN
SSL ini bukanlah salah satu dari rukun-rukun Islam dan diiktiqadkan pula sesuatu di dalam Islam perlu mengamalkanya. Walaupun demikian harus kita fikirkan ada baiknya sebab yang menjadi ahli SSL ini telah banyak yang berubah dari keadaan biasanya. Seolah-olah satu gerakan yang menyedarkan diri, lalu kembali ke pangkal jalan, tunduk kepada Allah dan menghinakan dirinya.

Cuba kita renungkan kembali kepada mengingatkan apakah yang dipohon oleh guru tatkala memotong limau itu? Dan apakah yang diikrarkan oleh guru bila diijazahkan kepada muridnya. Disinilah kemungkinan penerimaan oleh Allah. Sedikit sebanyaknya dihasilkan olehnya permintaan kita malahan pembawaan guru semuanya kembali ke jalan yang diredhoi oleh Allah belaka.

Tetapi bagi ahli-ahli yang masih muda memanglah menumpukan kepada silat semata-mata kerana keseronokan mreka itu bersilat dengan sendirinya seolah-olah diarahkan. Walaupun tidak ada guru yang mengajarnya. Mereka itu boleh bersilat pelabagai silat. Inilah diminati oleh orang muda.

Demikianlah saya menghuraikan perihal SSL ini yang mana telah berkembang hingga ke hari ini. Tidaklah berkurangan menceburkan diri mereka itu. Kerana mungkin ada sesuatu yang mereka rasai, lihat, atau dengar apa yang tidak pernah di alami di dalam hidupnya.

KESIMPULANYA
SSL ini berasal dari satu rumpun yang sama di mana saya petik dari berita akhbar menceritakan SSL ini dibawa oleh seorang hamba Allah dari Padang Pariaman, Minangkabau, Pulau Sumatra pada tahun 1724.

No comments:

Post a Comment